KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pertemuannya dengan pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, dengan menjelaskan bahawa pertemuan tersebut diadakan berdasarkan mandat ASEAN bagi mencapai gencatan senjata dan menyampaikan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi dahsyat melanda Myanmar pada 28 Mac lalu.
Menurut Anwar, pertemuan bersejarah yang berlangsung di Bangkok pada 18 April itu merupakan langkah pertama oleh seorang Pengerusi ASEAN sejak rampasan kuasa di Myanmar pada 2021 dan telah dibincangkan serta dipersetujui oleh semua pemimpin ASEAN tanpa sebarang bantahan.
“Saya hadir dengan mandat itu. Pertama, gencatan senjata. Ya, mungkin ada satu dua insiden kecil, tetapi ia telah dipersetujui. Kedua, bantuan kemanusiaan yang telus dan tanpa diskriminasi. Kita ada hospital medan daripada tentera Malaysia yang berkhidmat kepada semua wilayah di Myanmar,” katanya dalam wawancara bersama France 24 yang disiarkan semalam.
Anwar menyifatkan pendekatan itu sebagai anjakan strategik daripada dasar lama ASEAN yang tidak melibatkan dialog langsung dengan junta, pendekatan yang menurutnya terbukti tidak berkesan.
“Sekurang-kurangnya kini, selama sebulan, telah wujud gencatan senjata. Ya, ada aduan mengenai satu dua insiden, tetapi tiada lagi pengeboman dan kemusnahan berterusan,” katanya.
Mengulas mengenai isu Laut China Selatan, Anwar menjelaskan bahawa Malaysia mengambil pendekatan konsisten dan seimbang memandangkan negara mempunyai sempadan maritim dengan hampir semua jiran.
“Malaysia adalah negara maritim. Kita ada isu sempadan dengan Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam. Tapi kita tidak berperang,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan sokongan kepada pendirian kolektif ASEAN dalam menggesa semua pihak termasuk China supaya mempercepatkan rundingan Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan yang tertangguh lebih dua dekad.
“Selama 20 tahun, perkara ini tidak berlaku. Tapi China sudah beri maklum balas semasa di Jakarta tahun lepas. Mereka kata ya, mereka akan lihat perkara ini dan mereka menyokong,” katanya.
Menyentuh kebimbangan terhadap kemungkinan tercetus konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung isu Taiwan, Anwar menolak pandangan pesimis dan menyatakan keyakinannya bahawa kedua-dua negara akan mengelak peperangan.
“Saya percaya kedua-dua pemimpin mahu elak perang. Apapun pandangan anda mengenai Presiden Donald Trump, beliau mewakili pendirian seorang Presiden AS yang tidak mahu peperangan,” katanya.
Anwar turut menyatakan bahawa berdasarkan pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, pemimpin itu secara tegas menolak sebarang tindakan ganas atau serangan terhadap negara lain.
Malaysia kini mempengerusikan ASEAN bagi tahun 2025, sekali gus memainkan peranan penting dalam membentuk pendekatan serantau terhadap isu geopolitik dan keselamatan serantau.