Wednesday, 3, December, 2025
Utama Nasional AS yakin gencatan senjata Palestin-Israel dapat dicapai : Anwar

AS yakin gencatan senjata Palestin-Israel dapat dicapai : Anwar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) optimis bahawa gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel mampu dicapai dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan itu dinyatakan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ketika pertemuan mereka di ibu negara.

Menurut Anwar, beliau menegaskan kepada Rubio bahawa pembantaian dan kekejaman terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan segera.

“Saya tekankan bahawa pembantaian dan kekejaman harus dihentikan. Maklumat terkini menunjukkan usaha sedang digerakkan dan Rubio kelihatan yakin bahawa gencatan senjata dapat dicapai.

“Ini bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Palestin dan Gaza. Saya turut nyatakan bahawa konflik ini turut memberi kesan kepada kita di rantau ini sekiranya berlaku pencerobohan dan gangguan,” katanya.

Rubio mengadakan kunjungan hormat terhadap Anwar selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang berlangsung di ibu negara.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan perbezaan pendapat antara Malaysia dan AS berhubung isu Gaza tidak menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Amerika masih menganggap hubungan dengan Malaysia penting, dan mereka mahu memperkukuh kerjasama bersama ASEAN serta negara anggotanya.

“Mereka juga memahami pendirian Malaysia yang bersifat terbuka dan mahu berdagang serta menjalin hubungan baik dengan semua pihak. Ini penting, kerana kita tidak mahu dipaksa untuk memilih mana-mana blok,” katanya.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra, mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus berkerjasama meskipun berbeza pandangan dalam beberapa isu antarabangsa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.