SUNGAI PETANI: Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus komited melaksanakan dasar fiskal berhemah yang mengutamakan kebajikan rakyat tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari, berkata pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah langkah lebih adil berbanding pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.
“SST hanya disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi, golongan yang lebih mampu serta dikenakan terhadap barangan import dan perkhidmatan tertentu sahaja.
“Sebaliknya, GST dikenakan kepada semua rakyat tanpa mengira miskin atau kaya, tua atau muda, semuanya membayar jumlah yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan kini berada dalam fasa penting untuk menyeimbangkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara yang menuntut pelaksanaan keputusan-keputusan berani.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terpaksa membuat keputusan yang tidak popular, namun ia perlu demi menyelamatkan negara kita daripada terus terhimpit dalam krisis ekonomi global.
“Langkah seperti penyasaran subsidi dan rasionalisasi RON95 adalah antara contoh terbaik bagaimana kerajaan menstruktur semula sistem sedia ada demi memastikan bantuan disasarkan kepada yang benar-benar layak,” katanya.
Dr Muhammed Taufiq yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat berkata, sebelum ini hampir 15 peratus subsidi bahan api digunakan oleh golongan kaya dan warga asing yang tidak sepatutnya menerima manfaat itu.
“Jika penstrukturan ini dilaksanakan dengan betul, kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM5 hingga RM8 bilion.
“Penjimatan itu akan disalurkan semula kepada pembangunan ekonomi negara dan pelbagai bentuk bantuan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun negara kini berdepan ketidaktentuan ekonomi global, namun Malaysia masih mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan.
“Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kekal pada paras 5.1 peratus, manakala dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula naik kepada 6.3 peratus, iaitu kadar tertinggi sejak 2017.
“Kadar pengangguran pula dilaporkan antara yang terendah dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Menurutnya, kerajaan MADANI turut menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 seorang, subsidi kesihatan, peningkatan bayaran STR dan SARA sehingga RM900 serta kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.
“Gaji penjawat awam juga dinaikkan, sekali gus membuktikan segala keputusan yang dibuat kerajaan hari ini bukan bersifat populis, tetapi berdasarkan keperluan dan keberanian politik demi rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menegur pihak pembangkang yang didakwa cuba mengelirukan rakyat berhubung pelaksanaan cukai SST dan GST.
“Ada Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang cuba memutar belit fakta dan menakut-nakutkan rakyat dengan isu ini, sedangkan mereka pernah berada dalam kerajaan ketika skandal besar seperti 1MDB berlaku.
“Waktu mereka memerintah, GST yang membebankan rakyat miskin diteruskan tanpa pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Dr Taufiq menegaskan bahawa segala hasil daripada reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan akan terus dikembalikan kepada rakyat secara menyeluruh.
“Ekonomi MADANI ini dibina atas keputusan berani dan tepat. Kita mahu rakyat merasai hasil kemakmuran negara, dan itu sedang kita laksanakan hari ini,” katanya.