KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.836 bilion bagi melaksanakan 445 projek pembangunan di Terengganu tahun ini di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM239 juta berbanding tahun lalu, membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memajukan negeri berkenaan.
Katanya, antara projek utama ialah inisiatif perluasan liputan internet jalur lebar di Hulu Terengganu dan Besut yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 isi rumah.
Kerajaan Pusat juga meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk kerja menaik taraf sistem agihan air, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Program MADANI Rakyat (PMR) di Pasar Kedai Payang, di sini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tujuh projek baharu bernilai RM78.16 juta di daerah Marang turut diluluskan, membabitkan pembinaan Kolej Matrikulasi, dua bengkel kemahiran, perolehan tanah bagi Politeknik Kuala Terengganu serta menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.
Katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta sebagai inisiatif pembangunan sosial dan ekonomi melalui program Sejati MADANI, yang kini sedang giat dilaksanakan.
Sehingga akhir bulan lalu, sebanyak 290 komuniti sedang melaksanakan pelbagai projek ekonomi bertujuan membantu menambah pendapatan penduduk setempat, katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga sedang melaksanakan 441 projek meliputi kategori fizikal pembinaan dan penyenggaraan, termasuk kerja menaik taraf jalan persekutuan di seluruh Terengganu dengan peruntukan RM5.1 bilion.
KKR juga sudah melaksanakan kerja menaik taraf jalan sepanjang kira-kira 200 kilometer, termasuk pembesaran bahu jalan, pemasangan lampu jalan dan penambahbaikan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir kilat, membabitkan peruntukan kira-kira RM450 juta tahun lalu, katanya.
Katanya, kira-kira RM2.3 bilion lagi diperuntukkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di Terengganu.