KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap lawatan rasmi ke luar negara termasuk ke Brazil baru-baru ini bukan semata-mata untuk ‘bersiar-siar’, sebaliknya bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi global yang memberi manfaat kepada negara.
Menurutnya, lawatan seperti menghadiri Sidang Kemuncak BRICS itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuka ruang kerjasama baharu yang membawa pulangan ekonomi kepada Malaysia.
Kita bukan pergi hanya untuk bersiar-siar. Dalam mesyuarat dan perjumpaan, kita guna peluang dan ruang untuk menemui pemimpin dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hasil daripada hubungan strategik yang dibina, Malaysia turut menerima manfaat besar termasuk apabila PETRONAS diberi akses kepada pelantar minyak terbesar di Brazil.
Mengulas mengenai penyertaan beliau dan beberapa menteri dalam pelbagai mesyuarat serta rundingan ASEAN sejak kebelakangan ini, Anwar menjelaskan ia bukan semata-mata bersifat simbolik, malah sudah membuahkan hasil konkrit.
Katanya, antara pencapaian terbaharu ialah kejayaan menjadikan Terengganu sebagai pusat tenaga baharu berasaskan hidrogen hijau.
Beliau berkata, projek di Tasik Kenyir itu amat signifikan kerana selari dengan agenda rantau ASEAN yang ingin melaksanakan Grid Tenaga ASEAN, iaitu projek penyambungan tenaga rentas sempadan dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura melalui kabel dasar laut.
Penghasilan tenaga ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama ASEAN, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Ini sudah tentu akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai negara yang mempunyai kekuatan dalam menjana kuasa tenaga besar di rantau ini, katanya.
Jelas beliau, keperluan kepada kapasiti tenaga dan bekalan air yang besar turut dipacu oleh perkembangan pesat pusat teknologi kecerdasan buatan (AI), yang kini menjadi tumpuan pelaburan utama dunia.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN perlu direalisasikan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam pembangunan teknologi dan tenaga masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kedudukan Malaysia di persada antarabangsa juga semakin dihormati apabila negara-negara besar menunjukkan minat mendalam untuk menyertai mesyuarat ASEAN baru-baru ini.
Katanya, penyertaan luar biasa itu menunjukkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan serta potensi ekonomi Malaysia di bawah Kerajaan MADANI.