ALOR SETAR – Prihatin dengan isu kekurangan bekalan darah di hospital-hospital seluruh negara, Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah bakal menganjurkan Program Derma Darah Perdana Siri Kedua dengan sasaran 5,000 beg darah dikumpul menjelang hujung tahun ini.
Presidennya, Datuk Wira Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus, berkata program tersebut akan diperluaskan ke beberapa lokasi strategik bagi memudahkan penyertaan orang ramai.
“Antaranya termasuk institusi pengajian tinggi (IPT), kawasan industri seperti Kulim High Tech Park, kem tentera, jabatan kerajaan serta lokasi awam yang mudah diakses. Kita mahu mudahkan penderma, sebab kalau perlu ke hospital, ada yang hadapi masalah seperti tempat letak kenderaan,” katanya.
Jelas beliau, sambutan positif daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta semasa siri pertama tahun lalu telah memberi dorongan kepada pihaknya untuk meningkatkan sasaran kutipan.
“Kita berjaya kumpul 3,150 beg darah pada siri pertama. Kali ini kita sasar lebih tinggi kerana keperluan darah semakin mendesak,” tambahnya dalam sidang media khas di Kedah Royal Club, semalam.
Beliau turut menyeru mana-mana NGO yang berminat untuk tampil bekerjasama bagi menjayakan penganjuran edisi kedua itu.
Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah sebelum ini telah menerima pengiktirafan sebagai “Penganjur Derma Darah Paling Komited” sempena Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan pada 14 Jun lalu.
“Kejayaan itu membuktikan bahawa kempen derma darah mampu digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan secara aktif dan berkesan. Matlamat kita bukan sekadar menganjurkan program, tapi membudayakan amalan menderma darah dalam masyarakat,” tegasnya.