KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi menyokong usaha pembangunan semula bola sepak di ibu negara.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi galakan terhadap pembangunan sukan bola sepak yang disifatkan sebagai sukan rakyat, namun menekankan bahawa penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas menjadi tunjang utama dalam memajukan sukan berkenaan.
“Ini satu kesempatan bagi kita mengangkat martabat bola sepak tanah air, tetapi ia harus bermula daripada asas. Sebab itu, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi atau institut-institut latihan lain amat penting.
“Ia bukan semata-mata soal dana, tetapi juga meliputi penyediaan padang, pusat latihan dan akademi yang lengkap supaya anak-anak dapat dilatih dalam keadaan baik dan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KLFA, di sini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi yang juga penaung KLFA, Datuk Fahmi Fadzil dan Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar.
Anwar dalam ucapannya turut menegaskan pentingnya menjaga budaya kesukanan, khususnya tingkah laku penyokong yang kadangkala bertindak melampaui batas hingga mencemarkan semangat perpaduan.
“Terdapat gerombolan penyokong yang kadangkala tidak terkawal. Kalau kalah, tidak semestinya perlu dicerca. Kalau pemain sudah berusaha sedaya upaya, kita mesti menang, tetapi jangan hina pihak lawan yang kalah.
“Ini bukan budaya kita, ini budaya luar yang dikenali sebagai ‘hooliganism’,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau serta mengawal sebarang insiden yang boleh menjejaskan imej bola sepak negara.
Katanya, pendekatan itu sejajar dengan matlamat menjadikan sukan sebagai medium perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Dalam masa sama, beliau berkata, persatuan seperti KLFA turut bertanggungjawab memastikan semangat kesukanan dan nilai perpaduan terus dipupuk dalam kalangan penyokong serta pemain.
Pada majlis sama, KLFA turut mengumumkan beberapa inisiatif strategik termasuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam pembangunan bola sepak peringkat sekolah serta dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkasa program latihan jurulatih dan pembangunan belia.