PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat di Parlimen pada hujung tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ketelusan dan membina kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata RUU itu penting bagi memastikan orang awam memperoleh akses sebenar terhadap keputusan kerajaan, sekali gus menggalakkan penyertaan masyarakat berpengetahuan dalam sistem demokrasi Malaysia.
“Kita akan memperkenalkan satu Akta Kebebasan Maklumat untuk memperkukuhkan ketelusan dan memberi akses kepada orang awam, akses yang sebenar, kepada keputusan kerajaan.
“Ia merupakan langkah penting untuk membina kepercayaan rakyat dan menggalakkan masyarakat berpengetahuan dalam (sistem) demokrasi Malaysia.
“Kita akan membentangkan undang-undang ini di Parlimen pada hujung tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerajaan kini sedang dalam proses meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh dan bermakna kepada pemberi maklumat.
Katanya, pindaan itu turut melibatkan pemansuhan beberapa pengecualian yang sebelum ini mengehadkan perlindungan terhadap pemberi maklumat.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa satu jawatankuasa perlindungan pemberi maklumat yang bebas akan diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan menyeluruh.
“Reformasi ini mencerminkan pendekatan holistik dan tekad kami untuk membina keyakinan yang kukuh serta institusi yang telus demi berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia dengan penuh integriti,” katanya.