Sunday, 14, September, 2025
Utama Nasional Penghargaan luar biasa buat rakyat : “Kalau tidak Isnin, Selasa” – PM

Penghargaan luar biasa buat rakyat : “Kalau tidak Isnin, Selasa” – PM

oleh Ammar Haziq

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan satu bentuk penghargaan luar biasa untuk rakyat akan diumumkan dalam tempoh terdekat, berkemungkinan minggu depan.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan kini sedang memperhalusi cadangan-cadangan berkaitan yang mampu diumumkan dalam masa terdekat, bertujuan meringankan beban rakyat serta menangani isu semasa yang membelenggu masyarakat.

“Tiap-tiap minggu, pasukan Kementerian Kewangan meneliti langkah yang boleh diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa singkat dan mampu bantu ringankan masalah rakyat.

“Kalau tidak Isnin, Selasa… bagi masa dua, tiga hari lagi untuk diperkemaskan. Nanti saya umumlah. Doakan yang baik-baik, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035, Program Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup dengan kemampuan fiskal semasa negara, khususnya mengambil kira perbelanjaan besar sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pelarasan gaji penjawat awam.

Pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri turut memberi isyarat awal mengenai perkara itu melalui hantaran di Facebook yang memaparkan poster bertulis “AKAN DATANG” dengan mesej: “Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku.”

Hantaran tersebut menarik perhatian ramai warganet yang rata-ratanya menzahirkan keterujaan dan berharap pengumuman itu akan membawa manfaat menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com