PUTRAJAYA:Kerajaan berjaya menurunkan jumlah hutang baharu tahunan negara kepada RM77 bilion pada tahun ini berbanding RM99 bilion pada 2022, sekali gus membuktikan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang lebih berhemah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu jelas menunjukkan usaha kerajaan dalam mengurangkan defisit secara berperingkat tanpa menjejaskan pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Kalau dilihat pada angka ini, siapa sebenarnya yang menipu? Kita (kerajaan) kurangkan jumlah hutang baharu, bukan tambah. Tapi ada yang cuba bawa naratif sebaliknya, seolah-olah kita tipu rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan kini menurunkan defisit fiskal negara daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus tahun ini, dengan sasaran mengurangkannya lagi kepada 3.8 peratus menjelang hujung tahun.
Beliau turut menekankan bahawa pengurangan itu dibuat secara berperingkat supaya tidak menjejaskan perbelanjaan pembangunan dan mengekalkan keyakinan pasaran.
“Kalau kita kurangkan defisit secara mendadak, nanti banyak projek pembangunan terjejas. Kita kena urus ekonomi negara macam kita urus kewangan rumah tangga.
“Kalau gaji RM5,000 tapi belanja RM7,000, itu defisit. Jadi kita kurangkan belanja kepada RM6,500, RM6,000 dan seterusnya. Pendekatan ini lebih realistik dan bertanggungjawab,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan penghargaan kepada penjawat awam atas peranan besar mereka dalam melonjakkan nama Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD) 2025, yang menyaksikan negara naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 tahun sebelumnya.
Menurutnya, pencapaian tersebut hasil peningkatan prestasi ekonomi negara serta kecekapan dalam pentadbiran awam yang menunjukkan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang tepat.
Mengulas lanjut, Anwar turut memetik laporan Misi Artikel IV oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memuji usaha kerajaan Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal, termasuk pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
“Melalui akta ini, Menteri Kewangan secara prinsip menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Parlimen. Jika sasaran tak dicapai, Parlimen berhak menilai. Ini membuktikan ketelusan dan iltizam kita dalam memperkukuh tatakelola fiskal negara,” ujarnya.