Sunday, 3, August, 2025
Utama Nasional Anwar arah bantuan segera kepada keluarga asnaf terjejas strok

Anwar arah bantuan segera kepada keluarga asnaf terjejas strok

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan segera disalurkan kepada sebuah keluarga asnaf di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan yang kini bergelut dengan kesempitan hidup selepas ketua keluarganya diserang strok.

Anwar yang menziarahi keluarga tersebut bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata keluarga berkenaan kini bergantung sepenuhnya kepada Faridah Abbas, yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya, Mohamad Ali Abdul Malek, terlantar sejak tahun lalu.

“Saya dan Azizah amat terkesan melihat ujian berat yang menimpa keluarga ini. Saya telah arahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyalurkan kemudahan yang diperlukan bagi membantu Faridah dan anak-anaknya meneruskan kehidupan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, antara bantuan yang akan disalurkan termasuk penyediaan kiosk perniagaan bagi membolehkan Faridah menjual kuih-muih dan pisang goreng, selain kerja meratakan kawasan hadapan rumah mereka bagi menjamin keselesaan.

“Semoga ihsan dan bantuan ini dapat meringankan beban saudari Faridah dalam menguruskan suami yang terlantar serta anak-anaknya.

“Kami berdoa agar Allah meringankan ujian yang menimpa keluarga ini, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berada di Negeri Sembilan bagi menghadiri Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI, sempena permukiman anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen.

Program berkenaan dianjurkan sebagai wadah membina jaringan ukhuwah antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai, inklusif dan sarat nilai kebersamaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com