Sunday, 3, August, 2025
Utama Nasional Pondok tradisional diperkasa dengan TVET dan AI

Pondok tradisional diperkasa dengan TVET dan AI

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Kementerian Kewangan diarahkan mencari mekanisme terbaik bagi memperkasakan institusi pondok, termasuk penambahbaikan kemudahan dan kurikulum supaya seiring dengan tuntutan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi melahirkan pelajar pondok yang bukan sahaja kukuh dalam ilmu agama, malah bersedia menghadapi cabaran dunia moden.

Menurutnya, selaku Menteri Kewangan, beliau memberi jaminan usaha itu tidak akan menyentuh atau menjejaskan sukatan pengajian tradisional, sebaliknya memperkayakan sistem sedia ada dengan elemen baharu seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita tidak ganggu langsung sukatan dia (institusi pondok), tetapi masukkan beberapa elemen baharu termasuk teknologi TVET dan juga AI.

“Bukan mahu mengubah, tetapi melengkapi sistem institusi pondok dengan tuntutan semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Anwar menegaskan, usaha memperkasa institusi pondok dari aspek kemudahan dan kurikulum tidak sepatutnya dipolemikkan, sebaliknya disokong sebagai langkah memastikan pelajar institusi itu tidak tercicir dalam arus perdana.

Beliau menjelaskan, inisiatif berkenaan dibuat atas kepentingan rakyat dan pembangunan negara, bukannya bermotifkan politik.

“Insya-Allah saya akan hubungi Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah (Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan) untuk penuhi undangan beliau menziarahi pondoknya. Ini tiada kaitan dengan politik.

“Jangan terlalu terikat dengan pandangan politik sehingga tidak nampak kepentingan umum,” katanya.

Anwar turut berkongsi kejayaan kerajaan memperkenalkan program pendidikan TVET kepada 12,500 huffaz (penghafal al-Quran) di institusi pengajian masing-masing.

“Jumlah ini bukan sedikit. Bayangkan jika pendekatan begini diteruskan, anak-anak kita akan mendapat pendedahan lebih luas dan peluang lebih baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi berkaitan di bawah pimpinan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar atas penganjuran Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025 serta Malaysia Bermunajat 2025, Sabtu lalu.

Katanya, kedua-dua program itu menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara ulama dan umara dalam membina dasar negara berteraskan prinsip MADANI.

“Ia juga menjadi ruang untuk ulama menyampaikan pandangan dan teguran, supaya usaha memperkasa kefahaman serta kegiatan Islam di negara ini kekal mengikut kehendak sebenar agama,” katanya.

Anwar sekali lagi menegaskan, kemajuan negara perlu selari dengan pengukuhan nilai, akhlak dan kefahaman agama agar pembangunan seimbang dari segi fizikal dan rohani.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com