SABAH: Sistem kesihatan negara bakal mengalami lonjakan digital apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperluas liputan serta akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sabah.
Inisiatif berimpak tinggi itu menyaksikan pelaksanaan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron, bermula di Klinik Kesihatan Tawau sebagai pusat utama penghantaran ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.
Sabah dipilih bagi pelaksanaan awal memandangkan negeri itu memiliki jaringan 4G yang luas (94.4 peratus) dan 5G (69 peratus), selain berdepan cabaran geografi yang menuntut pendekatan inovatif untuk memastikan kesinambungan rawatan dan bekalan ubat kepada rakyat.
Kerjasama itu merangkumi lapan inisiatif utama, antaranya penyediaan infrastruktur komunikasi kesihatan masa depan; kelengkapan komputer dan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik termasuk klinik desa; kiosk telekesihatan di NADI; serta pelaksanaan sistem keselamatan siber di fasiliti kesihatan.
Turut diberi perhatian ialah penyediaan geran adaptasi sistem EMR; penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar; pemerkasaan penyertaan Malaysia dalam platform kesihatan digital global; serta penggunaan dron bagi menghantar ubat ke kawasan pedalaman.
Projek ini turut memperkasakan perkhidmatan e-Kesihatan melalui 1,099 NADI di seluruh negara, yang akan berfungsi sebagai pusat kesalinghubungan digital di luar bandar. Penduduk setempat juga bakal mendapat akses kepada konsultasi maya bersama doktor melalui kiosk telekesihatan yang disediakan.
Pendekatan berasaskan pengkomputeran awan dan platform konsultasi maya akan dimanfaatkan bagi menyokong penghantaran ubat ke kawasan sukar akses, memudahkan rawatan susulan serta memperkukuh pemantauan pesakit luar bandar secara berterusan.
KKM dan MCMC turut meneliti usaha meningkatkan literasi digital kesihatan dalam kalangan masyarakat luar bandar agar mereka lebih yakin terhadap keselamatan dan keberkesanan sistem kesihatan digital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu mampu memperkukuh sistem kesihatan awam negara dengan penyelesaian inovatif dan mesra rakyat, terutama bagi kawasan yang selama ini sukar mendapatkan rawatan.
“KKM amat mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia pendekatan signifikan dalam mendepani cabaran penjagaan kesihatan masa kini,” katanya.
Langkah ini juga dilihat penting bagi menangani cabaran sistemik seperti peningkatan jumlah warga emas, beban penyakit tidak berjangkit (NCD), dan ketidakseimbangan nisbah pesakit kepada petugas kesihatan.
Usaha ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk merealisasikan misi “1 Individu, 1 Rekod” serta menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi kesihatan global dan peneraju dalam bidang kesihatan digital serantau.