Sunday, 3, August, 2025
Utama Nasional Pelantikan Ketua Hakim ikut perlembagaan, tiada nama ditambah – Fahmi

Pelantikan Ketua Hakim ikut perlembagaan, tiada nama ditambah – Fahmi

oleh Ammar Haziq

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mematuhi sepenuhnya proses perlembagaan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, tanpa sebarang campur tangan atau penambahan nama lain dalam senarai yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, segala pelantikan dibuat mengikut prosedur yang digariskan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan selaras Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Nama-nama yang dibawa adalah nama yang disediakan oleh JAC. Tiada sebarang nama yang ditambah atau diubah oleh Perdana Menteri. Semuanya mengikut proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan Akta JAC,” katanya kepada media selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR Selangor di Pusat Konvensyen IDCC, di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada Khamis.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, pelantikan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan bahawa Perdana Menteri menghormati pandangan pelbagai pihak termasuk kritikan Majlis Peguam dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengenai proses pelantikan tersebut.

“Ini bukan semata-mata soal pelantikan, tapi ia mencerminkan usaha berterusan reformasi institusi. Apa yang penting, institusi kehakiman mesti kekal bebas serta bebas daripada sebarang pengaruh luar, termasuk daripada eksekutif atau legislatif,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan pembangkang yang menuduh kebebasan kehakiman tercemar akibat kelewatan pelantikan jawatan tertinggi itu.

Katanya, kerajaan komited memastikan institusi kehakiman terus utuh dan diyakini rakyat, seiring aspirasi reformasi institusi yang menjadi antara teras pentadbiran Kerajaan MADANI.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com