PUTRAJAYA:Seorang ulama berpengaruh dari Kelantan menyeru agar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan bagi menjamin kelangsungan pembangunan Islam dan kestabilan ekonomi negara.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah berkata, pertukaran kerajaan yang terlalu kerap sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi kesan besar terhadap kestabilan negara, termasuk kelemahan institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok.
“Di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan. Kadang-kadang dua tahun, malah setahun pun boleh bertukar. Bila dasar sering berubah, pondok pun jadi malap. Ekonomi pun jatuh. Ini bukan kaedah Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, di sini.
Beliau turut memberi peringatan terhadap usaha segelintir pihak yang berhasrat menjatuhkan Anwar, khususnya melalui perhimpunan besar-besaran yang dijadual pada 26 Julai ini di ibu negara.
Katanya, kehadiran ribuan jemaah dalam program bermunajat itu mencerminkan sokongan jelas rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar sejak penghujung 2022.
“Insya-Allah dengan doa dan munajat rakyat, segala rintangan akan dapat diatasi. Kepimpinan Datuk Seri (Anwar) akan terus dipertahankan,” katanya.
Dalam ucapannya, Syeikh Wazir turut mengimbau jasa Anwar semasa beliau menuntut di Pakistan, termasuk bantuan kewangan yang disalurkan bagi menyokong pelajar-pelajar ASEAN ketika itu.
Sementara itu, pembangkang mengumumkan rancangan menganjurkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai dengan sasaran kehadiran 300,000 peserta, meningkat ketara berbanding sasaran awal 50,000.
Anwar mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar-benar berhasrat mengambil alih pentadbiran negara.
Jika gagal, katanya, mereka perlu akur kepada proses demokrasi dan menunggu sehingga Pilihan Raya Umum yang sah.