Saturday, 2, August, 2025
Utama Nasional Kerajaan tidak pinggirkan M40 – PM

Kerajaan tidak pinggirkan M40 – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kumpulan berpendapatan sederhana (M40) tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan inisiatif pengurangan kos sara hidup oleh kerajaan.

Katanya, antara manfaat jelas kepada golongan itu ialah pengurangan harga petrol RON95 serta keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol membabitkan 10 lebuh raya di seluruh negara.

“Kita bermula dengan membantu golongan paling susah dulu, iaitu miskin tegar, kemudian B40 dan kini giliran M40 pula dibantu secara berperingkat.

“Alhamdulillah, untuk kumpulan M40, dua langkah ini – harga RON95 lebih rendah dan tol tidak naik – sudah memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya dalam ucapan perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini.

Beliau merujuk pengumuman semalam yang menyaksikan kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tol sedia ada bagi 10 lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), LPT2, SKVE, LLB dan MEX.

Anwar turut mengesahkan harga RON95 bakal diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September, susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api, iaitu penurunan daripada kadar semasa RM2.05 seliter.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com