PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Ahli Parlimen supaya mencontohi budaya berbahas secara beradab dan berhemah seperti ditunjukkan peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50, yang berlangsung semalam.
Beliau menzahirkan rasa kagum terhadap penguasaan hujah, kefasihan bahasa dan kematangan pelajar dalam menyampaikan pendirian mereka, sekali gus membuktikan perbahasan tidak perlu disertai dengan cercaan dan maki hamun.
“Saya bangga sekali dengan tahap perbahasan yang ditunjukkan. Saya renung sejenak, apa salahnya jika Ahli Parlimen belajar seperti mereka. Pertama, kalau nak berbahas, kita perlu kuasai ilmu, hadam, olah dan sampaikan.
“Anak-anak ini tunjuk tahap perbahasan hebat, dan saya tabik. Perdebatan ini bukan sekadar kepintaran berbicara, tetapi juga keupayaan menguasai ilmu, menelaah dan melontarkan hujah dengan beradab,” katanya ketika berucap pada majlis penutup pertandingan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan terhadap penguasaan bahasa Melayu dan kefahaman mendalam yang ditonjolkan pelajar, yang menurutnya selari dengan cita-cita membina negara MADANI berasaskan ilmu dan nilai.
Katanya, pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya mesti diadun dengan nilai akhlak dan kemanusiaan seperti ditegaskan tokoh ilmuwan Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dalam karya Adab al-Ikhtilaf.
“Negara MADANI mesti berpaksikan adab dan akhlak. Kita latih anak-anak bukan sahaja kuasai ilmu baharu seperti AI dan digital, tetapi juga mempertahankan nilai akidah, akhlak dan budaya tempatan. Tanpa ini, kita hanya memenuhi acuan negara Barat,” katanya.
Pertandingan edisi ke-50 itu menyaksikan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang muncul juara kategori Bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah dinobatkan johan kategori Bahasa Inggeris.