PUTRAJAYA: “Itu, saya tak dijemput,” demikian reaksi ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditanya sama ada beliau menghadiri ‘Himpunan Turun Anwar’ yang berlangsung di ibu negara, pada Sabtu.
Beliau memberikan jawapan itu secara berseloroh kepada wartawan selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2025 di sini.
Terdahulu, Anwar mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan himpunan berkenaan dapat berlangsung dalam suasana aman, tertib dan tanpa sebarang unsur provokasi.
Arahan itu, menurut beliau, selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang sentiasa menjunjung prinsip demokrasi dan menghormati keluhuran Perlembagaan negara.
“Kerajaan komited menjamin hak bersuara untuk semua pihak, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan kita,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.
Perhimpunan anjuran beberapa kumpulan dan aktivis politik itu berlangsung di sekitar ibu kota hari ini dengan pelbagai tuntutan serta kritikan terhadap kepimpinan semasa.
PDRM sebelum ini turut memberi jaminan untuk memantau keselamatan perhimpunan dan mengambil tindakan jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang sepanjang himpunan berlangsung.