PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa rakyat perlu menilai usaha serta dasar yang dilaksanakan kerajaan berlandaskan fakta dan bukan dipengaruhi sentimen politik semata-mata.
Beliau berkata, walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk kesejahteraan rakyat, masih ada pihak yang terus menyebarkan maklumat tidak tepat, termasuk dakwaan kononnya harga minyak dan barangan meningkat.
“Ini negara bebas dan demokratik. Cuma kita perlu beri penjelasan kerana dalam satu temu bual semasa perhimpunan di Dataran Merdeka semalam, ada yang bangkitkan isu kononnya minyak naik, sedangkan harga minyak sebenarnya turun.
“Ini bukan soal fakta, tetapi mainan sentimen politik dan kebencian. Sebab itu saya harap rakyat buat penilaian berdasarkan fakta. Kalau ada kelemahan, kita perbaiki,” katanya kepada media selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui setiap dasar dan pelaksanaan kerajaan mungkin tidak sempurna, namun beliau menegaskan kerajaan sentiasa terbuka untuk menilai semula serta menambah baik setiap dasar yang dilaksanakan.
“Saya tidak pernah mengatakan bahawa semua yang kita buat itu sempurna. Tetapi kita sentiasa mendengar dan menyesuaikan langkah kita berdasarkan keperluan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengulangi pendiriannya bahawa beliau bersikap terbuka jika pembangkang mahu membawa usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.
Katanya, perkara itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat dan perlu diraikan.
“Kita terbuka. Ini proses yang betul. Kalau nak bawa (usul undi tidak percaya), silakan. Dia (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin) kata nak bawa usul ini dah tiga tahun,” katanya sinis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hamzah ketika berucap dalam perhimpunan di Dataran Merdeka semalam, yang mendakwa pembangkang sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan usul itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Terdahulu, Anwar tiba pada jam 12.30 tengah hari bagi menghadiri majlis tertutup bersama kepimpinan dan ahli PKR Wilayah Persekutuan serta menyampaikan amanat sebagai Presiden parti.