MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM10 juta bagi membantu warga Muar, khususnya golongan B40 di daerah ini.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar bagi memastikan agihan bantuan dilakukan secara bersasar dan menepati keperluan sebenar rakyat.
“Langkah ini seiring dengan tekad kerajaan untuk memastikan tiada kelompok masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Perpaduan dan keadilan sosial menjadi asas perjuangan nasional dan ia perlu diterjemah dalam bentuk tindakan nyata yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengajak seluruh rakyat menghayati semangat perjuangan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Beliau turut menyempurnakan gimik pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 yang membawa semangat patriotik ke seluruh negara.
Konvoi berkenaan disertai 88 unit kenderaan kontinjen darat dan 66 aset pengangkutan air, dengan lebih 300 peserta keseluruhan.
Ia akan menjelajah ke seluruh negara melalui 88 hentian (checkpoint), meliputi 44 lokasi di Semenanjung, 20 di Sabah, 22 di Sarawak dan dua di Wilayah Persekutuan Labuan, sebelum dijadualkan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.