MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter adalah khusus untuk rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan harga pasaran semasa.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi teras dasar Kerajaan MADANI, bagi memastikan subsidi besar kerajaan tidak terus dinikmati oleh golongan bukan warganegara yang tidak menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.
“Minyak petrol RON95 untuk rakyat Malaysia, kita jual RM1.99. Tetapi untuk warga asing dan pelancong, termasuk dari Singapura, mereka akan bayar harga pasaran, RM2.50 atau RM2.60 seliter.
“Ini bukan diskriminasi, ini dasar negara berdaulat yang menjaga kepentingan rakyatnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen), Julina Johan.
Anwar berkata, penyasaran subsidi petrol yang diperkenalkan kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan negara dan membolehkan penyaluran semula dana kepada program kebajikan dan pembangunan rakyat.
Beliau turut menyelar kenyataan seorang pemimpin pembangkang dari Johor yang mempersoalkan tindakan kerajaan mengenakan harga pasaran kepada warga asing.
“Ada pemimpin pembangkang tanya kenapa warga asing kena bayar lebih? Saya tidak faham. Saya Perdana Menteri Malaysia.
“Orang asing tak bayar cukai pun macam rakyat. Di negara mana orang asing dapat subsidi seperti warganegara sendiri? Tanggungjawab saya ialah jaga rakyat Malaysia dahulu,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak, malah kadar semasa RON95 kekal antara yang terendah di rantau ini.
“Kalau tidak percaya, pergi tengok harga minyak di Singapura, Thailand, Indonesia – semua jauh lebih tinggi. Kita masih mampu beri RM1.99 kepada rakyat. Itu tanggungjawab saya,” katanya.
Tambah Anwar, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi itu juga akan digunakan untuk memperkukuh program kebajikan rakyat, mempercepat pembangunan luar bandar serta mempertingkat gaji minimum secara berperingkat, termasuk bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).