ALOR SETAR : UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan sebulat suara usul agar calon dari parti itu dipilih bertanding di Parlimen Alor Setar menggantikan calon tradisi daripada MCA pada Pilihanraya Umum Ke-16 (PRU16).
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau yakin calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Parlimen itu mampu meraih kemenangan di kerusi tersebut.
“Mengikut pengamatan, Kedah juga adalah negeri yang “swing state” iaitu negeri yang berpotensi menang dan juga boleh kalah.
“Terakhir PAS pernah menang dan perintah Kedah selama sepenggal selepas PRU 12 tetapi berjaya ditebus semula oleh BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Alor Setar di sini, semalam.
Malah Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga bekas Menteri Besar Kedah sebelum ini pernah menyuarakan perkara yang sama.
Sementara itu bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng yang terpanggil menyokong usul itu berpandangan, MKT perlu ‘berani membuat eksperimen pada PRU akan datang’.
Menurut Muhamad Guntor, perlu diingat calon BN daripada MCA menang di Parlimen Alor Serar sebelum ini juga atas sokongan pengundi Melayu.
“Namun, undi yang diperolehi BN kian merosot setiap kali pilihan raya disebabkan ‘pecah undi’ kepada calon PAS dan Pakatan Harapan serta parti lain yang diwakili orang Melayu.
“Mereka (pengundi) cenderung melihat calon, bukan lagi parti tanpa mengira kesan jika BN tidak lagi kekal sebagai kerajaan.
“Emosi pengundi Melayu kini sudah berubah…dan mereka telah membuat keputusan drastik tiga kali pada PRU sebelum ini..” kata Muhamad Guntor.
Beliau yang juga tokoh usahawan dalam industri tenaga solar terkemuka, berkata, beliau optimis pengundi akan kembali kepada BN/ UMNO berdasarkan suasana politik semasa dan pengalaman rakyat semasa diperintah oleh parti lain.
Pada PRU15, PN menerusi Afnan Hamimi Taib Azamudden menang Parlimen Alor Setar dengan majoriti 9,931 undi, mengalahkan calon PH, Simon Ooi Tze Min (27,555) dan calon BN, Tan Chee Hiong (8,930).