Thursday, 31, July, 2025
Utama Ekonomi JS-SEZ bukti Johor peneraju pertumbuhan ekonomi negara – MB

JS-SEZ bukti Johor peneraju pertumbuhan ekonomi negara – MB

oleh Ammar Haziq

MUAR: Kejayaan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi bukti kukuh bahawa kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri menjadikan inisiatif itu antara tonggak utama kejayaan ekonomi Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata negeri itu kini berada di landasan tepat hasil pelbagai pencapaian memberangsangkan yang menunjukkan usaha pembangunan Johor sedang membuahkan hasil.

Katanya, Johor bukan sahaja mencatat pelaburan diluluskan tertinggi di negara ini bagi suku pertama 2025 dengan nilai RM30.1 bilion, malah turut merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus, melepasi paras pertumbuhan nasional tahun lalu.

“Ini bukan angka kecil. Ini membuktikan Johor bukan sekadar pemacu ekonomi di selatan tanah air, tetapi juga antara negeri peneraju pertumbuhan negara.

“Justeru, kita di peringkat negeri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman pelbagai inisiatif untuk rakyat, termasuk pemberian tunai RM100 secara sekali beri dan penurunan harga petrol RON95 baru-baru ini.

“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif ini dan turut melaksanakannya di peringkat negeri melalui program seperti Bakul Kasih, Jualan Kasih, Dapur Kasih, pembinaan rumah mampu milik, bantuan kepada hospital dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana memilih Johor, khususnya Muar, sebagai tuan rumah majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini.

Katanya, pemilihan Muar sangat signifikan kerana daerah itu merupakan antara lokasi penting dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara.

“Muar telah melahirkan ramai tokoh besar negara seperti Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh yang bukan sahaja berani, malah jujur dan tulus dalam perjuangan mereka untuk tanah air.

“Jadi, apabila Muar dipilih sebagai lokasi pelancaran tahun ini, saya percaya ini bukan kebetulan, sebaliknya satu penghargaan terhadap sejarah,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com