JAKARTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di ibu negara Indonesia pada malam Isnin bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang dijadual berlangsung di Istana Merdeka.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma pada jam 7.40 malam waktu tempatan dan disambut oleh Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Pertemuan pada Selasa bakal menjadi rundingan sulung antara kedua-dua pemimpin negara serumpun itu sejak Prabowo mengambil alih tampuk kepimpinan Indonesia.
Rundingan kali terakhir antara Malaysia dan Indonesia berlangsung di Kuching, Sarawak pada 22 November 2017, menjadikan sesi ini sebagai kesinambungan penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Menurut Syed Mohamad Hasrin dalam taklimat medianya sebelum ini, Rundingan Tahunan merupakan platform diplomatik tertinggi yang digunakan kedua-dua negara bagi merangka kerjasama strategik, menyeluruh dan bersifat jangka panjang.
Selain membincangkan pelbagai isu dua hala, sesi kali ini turut dijangka membuka lembaran baharu kerjasama dalam bidang perdagangan, keselamatan, buruh serta pendidikan, selain menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Sempena lawatan itu juga, Anwar dijadual mengadakan kunjungan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, di mana beliau bakal menyampaikan ucapan dasar mengenai hala tuju ASEAN, bertepatan dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.