Monday, 15, September, 2025
Utama Nasional AS puji Malaysia anjur rundingan gencatan senjata Kemboja-Thailand

AS puji Malaysia anjur rundingan gencatan senjata Kemboja-Thailand

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyambut baik pengisytiharan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan semalam hasil rundingan damai yang dianjurkan Malaysia di Kuala Lumpur.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dalam kenyataan rasmi berkata Presiden Donald Trump dan pentadbiran AS komited terhadap usaha menghentikan keganasan serta-merta.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranan penting beliau sebagai tuan rumah dan penggerak utama rundingan tersebut.

“Presiden Trump dan saya komited terhadap penghentian keganasan serta-merta dan menjangkakan kerajaan Kemboja dan Thailand akan memenuhi sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik ini,” katanya.

Rubio menegaskan bahawa usaha yang dimulakan oleh Malaysia ini bukan sahaja dipandang tinggi di peringkat serantau, malah menunjukkan peranan aktif negara dalam menyumbang kepada keamanan dan kestabilan Asia Tenggara.

Menurut beliau, Amerika Syarikat akan terus memberikan sokongan serta memainkan peranan aktif dalam proses damai yang dianjurkan bersama oleh Washington dan Putrajaya.

“Kami menggesa semua pihak agar menunaikan komitmen yang telah dipersetujui. Amerika Syarikat akan terus komited dan terlibat dalam proses yang diterajui bersama ini bagi memastikan konflik ini dapat ditamatkan secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menghadiri mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar, sebelum mengumumkan persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com