Thursday, 31, July, 2025
Utama Nasional Anwar tegas kepusatan dan perpaduan ASEAN kunci keamanan serantau

Anwar tegas kepusatan dan perpaduan ASEAN kunci keamanan serantau

oleh Ammar Haziq

JAKARTA: Kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja bukan sahaja memperlihatkan keupayaan ASEAN untuk bertindak pantas dalam menangani konflik, malah mencerminkan kekuatan blok itu dalam memelihara kestabilan melalui keterlibatan rakan-rakan serantau secara konstruktif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, episod yang membawa kepada gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat itu menjadi bukti nyata nilai-nilai ASEAN yang telah membentuk kemakmuran rantau ini selama ini.

“Dengan menjunjung Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), kita bukan sahaja mampu mengekalkan keamanan, tetapi turut membina masa depan yang berpaksikan kepercayaan, perpaduan dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam ucapan dasar ASEAN di Sekretariat ASEAN, di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn dan delegasi pemimpin kanan Malaysia sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Indonesia bersempena Rundingan Tahunan ke-13 Malaysia-Indonesia.

Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 menyifatkan kejayaan rundingan di Putrajaya sebagai simbol keberkesanan pendekatan ASEAN yang mengutamakan dialog dan saling menghormati dalam menyelesaikan ketegangan serantau.

Mesyuarat khas itu menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai serta wakil kuasa besar, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan kepimpinan China yang terlibat secara konstruktif dalam usaha damai tersebut.

Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin terbabit dan menegaskan bahawa hanya dengan kesabaran, kepercayaan dan usaha diplomatik yang berterusan, keamanan sejati dapat dicapai.

“Kepusatan, perpaduan dan autonomi ASEAN perlu terus menjadi kompas kita. Nilai-nilai ini bukan sesuatu yang kekal dengan sendiri, ia adalah keistimewaan yang perlu kita pertahankan bersama dalam dunia yang semakin berpecah,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa dalam landskap global yang semakin mencabar, komitmen ASEAN terhadap kerjasama dan prinsip damai lebih relevan berbanding sebelum ini.

Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja mula berkuat kuasa pada 28 Julai jam 12 tengah malam selepas ketegangan memuncak susulan pertempuran di kawasan sempadan yang menyebabkan korban jiwa.

Rundingan di Putrajaya yang dipengerusikan Malaysia dengan Amerika Syarikat sebagai penganjur bersama dan China sebagai pemerhati, mendapat pujian antarabangsa dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai pengantara utama keamanan serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com