PUTRAJAYA: Kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang membawa kepada pelaksanaan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat dianggap sebagai detik penting dalam sejarah diplomasi serantau, hasil kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Melalui tindakan pantas dan berprinsip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN sekali lagi membuktikan kebolehannya menyelesaikan konflik serantau secara berdialog tanpa perlu bergantung kepada campur tangan luar.
Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Muhammad Fuad Othman menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian besar ASEAN dalam mengekalkan keamanan.
“Datuk Seri Anwar bertindak dengan cemerlang apabila menggerakkan usaha diplomatik tanpa berlengah dan mengutamakan pendekatan ASEAN. Beliau juga berjaya mempengaruhi negara anggota untuk memberi sokongan penuh terhadap proses ini,” katanya kepada Bernama.
Katanya, Malaysia sekali lagi menunjukkan kepada dunia bahawa ia bukan hanya mampu menjadi pemain utama dalam keamanan serantau, malah berpotensi menjadi kuasa pendamai di peringkat global.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengambil inisiatif menawarkan diri sebagai pengantara dalam krisis tersebut, dengan rundingan secara bersemuka diadakan di Putrajaya pada Isnin lalu melibatkan kedua-dua pemimpin negara terbabit.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju untuk menghentikan pertempuran serta-merta. Turut hadir, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta China, Ouyang Yujing, dengan AS sebagai penganjur bersama dan China sebagai pemerhati.
Menurut Prof Fuad, sokongan dua kuasa besar itu turut memberi isyarat bahawa penyelesaian secara ASEAN mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Tindakan pantas ini selari dengan prinsip Cara ASEAN dan menjadi mesej jelas bahawa blok ini tidak akan membiarkan konflik dalaman menjejaskan perpaduan yang dibina selama berdekad,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan USM, Profesor Madya Dr Benny Teh Cheng Guan turut menyambut baik perkembangan tersebut, menyifatkannya sebagai bukti peranan aktif Malaysia dalam menjamin kestabilan rantau ini.
“Thailand dan Kemboja bersetuju bertemu di Putrajaya serta menerima gencatan senjata tanpa syarat menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Malaysia dan semangat penyelesaian ASEAN,” katanya.
Beliau menambah, usaha ini mencerminkan kekuatan ASEAN untuk menangani isu dalaman secara sendiri tanpa perlu pergantungan berlebihan kepada pihak luar.
“Jika gencatan senjata ini dapat dikekalkan, ia akan menjadi penanda aras baharu kejayaan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dan mengangkat imej Malaysia sebagai pendamai serantau,” katanya.
Krisis sempadan antara Thailand dan Kemboja bermula dengan insiden tembak-menembak pada 28 Mei sebelum memuncak kepada konflik bersenjata besar-besaran pada 24 Julai lalu.
Setakat 26 Julai, konflik itu mengorbankan lebih 30 nyawa dan memaksa lebih 200,000 penduduk di kawasan sempadan berpindah bagi mengelak ancaman keselamatan.
Namun, hasil rundingan dan diplomasi intensif yang digerakkan Malaysia, situasi berjaya diredakan tanpa perlu berlarutan menjadi konflik ketenteraan yang lebih besar.