Monday, 15, September, 2025
Utama Nasional Malaysia, Brunei yakin ASEAN mampu jadi rantau contoh keamanan dunia

Malaysia, Brunei yakin ASEAN mampu jadi rantau contoh keamanan dunia

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Brunei menyuarakan keyakinan bersama terhadap keupayaan ASEAN untuk terus muncul sebagai rantau teladan dalam memperjuangkan diplomasi dan mengekalkan keamanan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menjadi antara topik utama perbualan beliau dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam panggilan telefon yang berlangsung sejurus ketibaan beliau di Sekretariat ASEAN, Jakarta semalam.

“Kami berbincang mengenai pelbagai hal ehwal ASEAN, termasuk kejayaan usaha pendamaian antara Thailand dan Kemboja yang telah bersetuju menghentikan semua bentuk keganasan tanpa syarat.

“Insya-Allah, kami yakin ASEAN akan terus menjadi model rantau yang menjulang prinsip diplomasi dan keamanan,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu, mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin menyaksikan persetujuan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand selepas konflik sempadan yang semakin meruncing sejak akhir Mei lalu.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai hadir dalam mesyuarat itu yang turut disertai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan, serta Duta China, Ouyang Yujing.

Amerika Syarikat bertindak sebagai penganjur bersama manakala China hadir sebagai pemerhati yang menyokong penyelesaian damai di bawah kerangka ASEAN.

Thailand dan Kemboja, dua negara jiran Asia Tenggara, berdepan pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum diselesaikan sepenuhnya, dengan ketegangan terbaru tercetus susulan insiden tembak-menembak berhampiran Preah Vihear pada 28 Mei lalu.

Konflik kembali memuncak pada 24 Julai dengan beberapa pertempuran dilaporkan di kawasan sempadan utara Kemboja, mengorbankan nyawa di kedua-dua pihak.

Sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan, Perdana Menteri bertolak ke Jakarta bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com