BANGKOK: Kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang dipengerusikan Malaysia menerima liputan meluas di media arus perdana Thailand, mencerminkan signifikan peranan Kuala Lumpur dalam meredakan ketegangan serantau.
Akhbar berbahasa Thai paling lama dan laris di negara itu, Thairath, memaparkan tajuk utama di muka hadapan edisi Selasa bertajuk: “Gencatan Senjata Tanpa Syarat: Thailand dan Kemboja Teruskan Hubungan Dua Hala”.
Akhbar tersebut turut menyiarkan gambar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai — simbolik kepada kejayaan rundingan yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin lalu.
Gencatan senjata yang mula berkuat kuasa tepat jam 12 tengah malam, 28 Julai itu dicapai menerusi mesyuarat khas yang diketuai Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025. Langkah ini dianggap penting bagi memastikan keselamatan serantau, kestabilan ASEAN serta kelangsungan hubungan perdagangan dan pelancongan di kawasan sempadan.
Perkhidmatan Penyiaran Awam Thailand, Thai PBS, turut menyiarkan perkembangan itu dalam segmen berita antarabangsa mereka dengan laporan bertajuk: “Thailand dan Kemboja bersetuju laksana gencatan senjata ‘tanpa syarat’ bermula tengah malam”.
Sementara itu, akhbar harian berbahasa Inggeris Bangkok Post melaporkan berita berkenaan di laman sesawang mereka dengan tajuk: “Thailand dan Kemboja capai gencatan senjata selepas lima hari pertempuran”.
Laporan itu turut menyatakan bahawa insiden terbaru adalah antara yang paling berdarah sejak konflik sporadik pada 2008 hingga 2011, berkaitan perebutan kawasan sekitar kuil Preah Vihear.
Thailand dan Kemboja telah lama terlibat dalam pertikaian berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan secara rasmi. Ketegangan mula meningkat sejak 28 Mei lalu, selepas insiden tembak-menembak berhampiran kawasan berkenaan yang mengorbankan seorang tentera Kemboja.
Pertempuran bersenjata tercetus semula pada 24 Julai dan menyebabkan kehilangan nyawa di kedua-dua pihak, sebelum usaha diplomatik Malaysia berjaya membawa kedua-dua negara ke meja rundingan dan mencapai kata sepakat demi kestabilan rantau.