KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan ASEAN untuk terus kekal utuh, berprinsip dan mengutamakan rundingan dalam menghadapi cabaran geopolitik serta ketegangan serantau yang kian kompleks.
Beliau berkata demikian susulan perbualan telefon bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr selepas kembali dari lawatan kerja ke Jakarta malam tadi.
“Antara perkara yang kami bincangkan ialah perkembangan mutakhir di rantau ini, termasuk lawatan Presiden Marcos ke Amerika Syarikat dan bagaimana ASEAN dapat memainkan peranan lebih ampuh dalam mengukuhkan kerjasama serantau,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Anwar, perbualan itu turut menyentuh mengenai usaha perdamaian membabitkan Kemboja dan Thailand yang kini menunjukkan perkembangan positif biarpun berdepan cabaran.
Malaysia, katanya, amat menghargai peranan negara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta negara ASEAN lain yang tampil menyokong proses rundingan secara konstruktif demi mengekalkan kestabilan serantau.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa sebarang syarat dalam usaha meredakan konflik yang tercetus di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai hasil Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri di Putrajaya dengan kehadiran Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Mesyuarat berkenaan turut disertai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta China, Ouyang Yujing. Amerika Syarikat bertindak selaku penganjur bersama, manakala China hadir sebagai pemerhati untuk menyokong penyelesaian damai.
Thailand dan Kemboja sudah lama berdepan pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum ditandakan secara rasmi, sekali gus menjadi punca ketegangan sejak beberapa dekad lalu.
Situasi tegang kembali memuncak susulan insiden pada 28 Mei lalu apabila berlaku pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Krisis memuncak semula pada 24 Julai dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di sempadan utara Kemboja, mengorbankan beberapa nyawa di kedua-dua pihak.