Friday, 1, August, 2025
Utama Nasional KSN ucap tahniah kepada PM, anggap pemimpin utama usaha damai ASEAN

KSN ucap tahniah kepada PM, anggap pemimpin utama usaha damai ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranan penting beliau dalam menjayakan rundingan damai antara Kemboja dan Thailand yang membawa kepada pelaksanaan gencatan senjata serta-merta.

Beliau berkata, usaha yang digerakkan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025 mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam mendukung keamanan serantau menerusi pendekatan diplomatik dan prinsip kemanusiaan.

“Perdana Menteri Malaysia menjadi tokoh utama yang memacu rundingan damai antara dua negara jiran, Kemboja dan Thailand. Kejayaan ini menggambarkan semangat ASEAN yang berpaksikan muafakat, perundingan dan keselamatan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Anwar mengumumkan persetujuan kedua-dua negara untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan di sempadan secara serta-merta dan tanpa syarat, hasil rundingan khas yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.

Mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, bersama wakil dua kuasa besar iaitu Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta China, Ouyang Yujing.

Amerika Syarikat bertindak sebagai penganjur bersama manakala China hadir sebagai pemerhati dalam usaha menyokong penyelesaian damai di bawah kerangka ASEAN.

Thailand dan Kemboja telah lama berdepan pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum selesai secara rasmi. Ketegangan antara kedua-dua negara kembali memuncak sejak 28 Mei lalu susulan insiden pertempuran berhampiran kawasan Preah Vihear.

Konflik bersenjata terbaharu tercetus pada 24 Julai di utara Kemboja, menyaksikan beberapa korban jiwa di kedua-dua pihak dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Kejayaan rundingan damai ini dilihat sebagai pencapaian awal penting buat Malaysia dalam menggalas tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus mengangkat peranan negara sebagai pengantara efektif dalam krisis serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com