Friday, 1, August, 2025
Utama Nasional Lagu ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’ dipasang sepanjang bulan kebangsaan

Lagu ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’ dipasang sepanjang bulan kebangsaan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Semua kementerian, jabatan serta agensi kerajaan kini diwajibkan memainkan lagu tema rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berjudul Malaysia MADANI Rakyat Disantuni sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata arahan tersebut adalah langkah untuk memperkukuh semangat patriotik dan menyemarakkan lagi sambutan kebangsaan di seluruh negara.

“Lagu ini bukan sahaja merdu dan menyentuh jiwa, tetapi turut mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkannya sebagai ‘sangat-sangat best’,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini.

Lagu berirama Malaysia itu merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Datuk Mokhzani Ismail dengan sentuhan muzik oleh komposer muda Affan Mazlan, manakala vokal disampaikan oleh biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ia diperkenalkan buat kali pertama semasa pelancaran rasmi Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, pada Ahad lepas.

Menurut Fahmi, kementeriannya kini memberi tumpuan kepada pelbagai aspek persiapan sambutan HKHM termasuk keselamatan, pengurusan trafik, penyiaran serta kelancaran acara rasmi.

Beliau turut menyeru warga kementerian dan agensi komunikasi memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej patriotik secara berkesan kepada masyarakat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi turut meminta agar lagu tema tersebut dimainkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama dan stesen penyiaran lain sebelum dan selepas siaran berita utama serta dalam video promosi sepanjang bulan Ogos dan September ini.

“Lagu ini wajar dimainkan di lobi kementerian atau dijadikan muzik latar sewaktu majlis rasmi. Kita juga akan cadangkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar ia dijadikan sebahagian daripada protokol acara melibatkan Perdana Menteri sepanjang Bulan Kebangsaan,” ujarnya.

Beliau menambah, pihak kementerian turut menangani isu-isu berkaitan kesalinghubungan dan kawalan keselamatan lokasi sambutan.

Setakat ini, katanya, semua persiapan berjalan dengan lancar dan beberapa elemen gimik istimewa turut sedang dirancang bagi memeriahkan sambutan tahun ini.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos, manakala Hari Malaysia pula dijadualkan pada 16 September di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com