Saturday, 2, August, 2025
Utama Gaya Hidup RMK13 pacu ekonomi hijau, perluas pembiayaan dan teknologi rendah karbon

RMK13 pacu ekonomi hijau, perluas pembiayaan dan teknologi rendah karbon

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperkukuh ekonomi hijau sebagai teras pembangunan negara yang berteraskan kelestarian alam sekitar, dengan pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah utama ialah memudah cara perdagangan karbon negara melalui pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, Skim Perdagangan Emisi (ETS), serta penyediaan insentif untuk projek kredit karbon.

“Ekonomi hijau tidak hanya menjaga alam sekitar, tetapi juga menjadi pemacu pertumbuhan baharu yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebagai langkah memperkukuh penyahkarbonan, aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan dipertingkat serta dimasukkan dalam taksonomi pelaburan dan pembiayaan hijau negara. Kerajaan turut memperluas akses kepada pembiayaan hijau bagi menyokong usaha penyahkarbonan dalam sektor-sektor utama.

Dalam hal itu, satu projek rintis teknologi CCUS dalam industri besi dan keluli akan dilaksanakan di Kemaman, Terengganu menjadikan Malaysia antara perintis dalam penerapan teknologi rendah karbon di rantau ini.

Kerajaan juga telah merangka Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia yang antara lain menumpukan kepada pembangunan infrastruktur serta penggunaan bahan api penerbangan mampan (sustainable aviation fuel atau SAF).

Bagi memacu ekonomi kitaran, Anwar berkata sisa pertanian akan dimanfaatkan secara optimum untuk menghasilkan nilai tambah baharu secara mampan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan sisa, malah mewujudkan peluang baharu dalam sektor bioekonomi.

“Pembinaan loji waste-to-energy akan diperluas melalui kerjasama sektor swasta bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan konvensional,” jelas beliau.

Pada masa sama, kerajaan turut menaik taraf kapasiti kemudahan depoh pengadunan biodiesel di Sandakan, Lahad Datu dan Bintulu, selaras dengan usaha memperluas penggunaan bahan api alternatif rendah karbon di negara ini.

Keseluruhannya, RMK13 memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar, selain menyokong agenda global dalam menangani perubahan iklim dan menurunkan pelepasan karbon secara berperingkat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com