Sunday, 3, August, 2025
Utama Nasional RMK13: RM67 Bilion diperuntuk tingkat mutu pendidikan, prasekolah usia lima tahun bakal diwajibkan

RMK13: RM67 Bilion diperuntuk tingkat mutu pendidikan, prasekolah usia lima tahun bakal diwajibkan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 bilion bagi sektor pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan tumpuan khusus kepada pembinaan sekolah baharu, penaiktarafan bangunan sedia ada, penambahbaikan tadika KEMAS serta fasiliti institusi pendidikan tinggi awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan besar itu membuktikan iltizam kerajaan untuk menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan negara, sejajar dengan keperluan masa depan yang semakin mencabar.

“Pembinaan sekolah akan dijadikan syarat wajib dalam kelulusan Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar. Selain itu, konsep sekolah vertikal juga akan diperluas bagi menangani masalah kepadatan pelajar dan kekurangan tapak bersesuaian di kawasan bandar,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kerajaan juga menyasarkan kadar enrolmen prasekolah dan sekolah menengah mencapai 98 peratus — melepasi kadar purata sejagat. Sehingga tahun 2025, lebih 1,200 sekolah daif telah dinaik taraf di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh penambahbaikan infrastruktur pendidikan.

Bagi menilai keberkesanan dasar dan kurikulum semasa, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terus dikekalkan sebagai penanda aras utama di peringkat kebangsaan. Dalam masa yang sama, usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan akan terus dipacu agar selari dengan piawaian antarabangsa seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS).

“Kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah pada usia lima tahun. Kementerian Pendidikan akan memperluas kemudahan prasekolah terutama di kawasan desa supaya tiada murid tercicir dalam pendidikan awal,” ujar Anwar.

Selain itu, kajian menyeluruh akan dijalankan ke atas waktu persekolahan yang paling sesuai, termasuk menilai semula keberkesanan sekolah khusus serta menambah baik pendekatan bagi murid pintar cerdas dan berbakat tinggi.

Dari aspek bahasa, Anwar berkata penguasaan Bahasa Melayu akan terus diperkasakan, manakala Bahasa Inggeris dijadikan sebahagian daripada bahasa pengajaran dan komunikasi. Pembelajaran bahasa tambahan seperti Mandarin, Tamil, Arab dan lain-lain juga akan diperluaskan.

“Kerajaan juga memberi fokus kepada pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi digital, termasuk pengenalan asas Kecerdasan Buatan (AI) bagi melahirkan tenaga kerja masa depan yang lebih bersedia dan bernilai tinggi,” katanya.

Dalam usaha memperkemas sistem secara keseluruhan, tanggungjawab kawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah akan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), manakala pendidikan prauniversiti dan tinggi akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Langkah ini bertujuan memperjelas bidang kuasa masing-masing serta meningkatkan kecekapan dasar dan pelaksanaan dalam sektor pendidikan yang semakin kompleks dan berorientasikan masa depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com