PHNOM PENH: Kejayaan Malaysia menjadi perantara dalam gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja membuka peluang besar kepada negara itu untuk menerapkan model penyelesaian serupa bagi menangani konflik bersenjata yang berlarutan di Myanmar antara krisis paling rumit dalam sejarah ASEAN.
Pemerhati politik berpandangan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendekatan diplomasi Malaysia yang lebih tegas dan proaktif kini sedang mentakrifkan semula peranan ASEAN sebagai blok yang bukan sahaja bersifat konsensus, malah mampu menangani krisis serantau yang kompleks.
“ASEAN memerlukan kepimpinan, dan Anwar sedang memainkan peranan itu,” kata Felo Kanan di Institut Pengajian Keselamatan dan Antarabangsa Universiti Chulalongkorn, Kavi Chongkittavorn.
“Beliau menjadikan ASEAN lebih relevan di bawah kepimpinan Malaysia. Timor-Leste bakal diterima sebagai anggota ASEAN dan untuk menyelesaikan krisis Myanmar, ASEAN juga memerlukan kepimpinan.”
Menurut beliau, inisiatif Malaysia memberi ruang kepada ASEAN untuk lebih efektif dalam melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China dalam penyelesaian konflik, sejajar dengan Visi ASEAN 2045 yang diumumkan Putrajaya.
“Malaysia telah mengumumkan Visi 2045 yang membayangkan ASEAN sebagai blok yang bersedia menghadapi masa depan. Anwar sedang melaksanakan perkara itu. Ia akan mengambil masa untuk terus menjenamakan semula ASEAN,” katanya kepada Bernama.
Kavi turut menekankan kejayaan rundingan damai Thailand-Kemboja sebagai pencapaian penting, memandangkan Thailand sebelum ini pernah menolak penglibatan ASEAN dalam pertikaian sempadan pada 2008 dan 2011.
Rundingan yang dikendalikan Malaysia berjaya meredakan ketegangan di kedua-dua belah sempadan serta menyelamatkan ribuan nyawa. Sekiranya tidak diurus segera, pertikaian itu berisiko mencetuskan konfrontasi ketenteraan yang boleh menggugat kestabilan rantau ini.
Namun, krisis Myanmar jauh lebih kompleks. Konflik bersenjata di negara itu melibatkan hampir 20 kumpulan etnik dengan tuntutan kemerdekaan sejak 1948. Secara keseluruhan, Myanmar dianggar mempunyai sekitar 135 kumpulan etnik.
Rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021 terus memburukkan keadaan, menyebabkan lebih tiga juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia parah.
“Satu-satunya jalan penyelesaian bagi krisis Myanmar adalah dengan membawa kerajaan tentera dan komponen NUG ke meja rundingan untuk membincangkan formula perkongsian kuasa, pembahagian hasil dan membuka koridor kemanusiaan. Rakyat Myanmar perlu dibebaskan daripada penderitaan mereka,” kata penganalisis politik, Anil.
Ketika tumpuan dunia terarah kepada konflik sempadan Thailand-Kemboja, Myanmar terus dibelit pelbagai masalah dalaman termasuk kesukaran ekonomi, bencana alam, perang saudara dan gelombang pelarian.
Terbaharu, kerajaan tentera Myanmar menarik balik perintah darurat yang dilaksanakan selama empat tahun, dan mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya pada Disember ini.
Persoalan sama ada ASEAN, di bawah kepimpinan Malaysia, mampu memudahkan dialog yang bermakna di Myanmar masih belum terjawab. Namun, penganalisis bersetuju bahawa langkah-langkah diplomatik tegas yang diterajui Anwar memberi harapan baharu terhadap usaha mentransformasikan ASEAN menjadi pemain serantau yang lebih berkesan.