Tuesday, 5, August, 2025
Utama Nasional Trump puji peranan Malaysia jayakan gencatan senjata Thailand-Kemboja

Trump puji peranan Malaysia jayakan gencatan senjata Thailand-Kemboja

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji peranan Malaysia dalam memudahkan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja sehingga membawa kepada kejayaan gencatan senjata antara dua negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan itu disampaikan Trump menerusi panggilan telefon pada 30 Ogos lalu, susulan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menggerakkan usaha pendamaian.

“Trump sebut ‘fantastic work’ sebanyak tiga kali. Dia kagum bagaimana Malaysia mampu menyatukan dua pihak yang selama ini bertelagah, sesuatu yang sukar dicapai di mana-mana tempat lain,” katanya.

Anwar berkata, rundingan awal membabitkan China tidak mencapai kata sepakat, namun selepas usaha gigih oleh Kementerian Luar Negeri dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pendamaian akhirnya berjaya dicapai dalam tempoh dua jam setengah di Kuala Lumpur.

“Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja bersetuju hadir ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, dalam masa dua jam setengah, kita capai persetujuan gencatan senjata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut memaklumkan, Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja dijadual mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur pada Isnin depan bagi membincangkan langkah-langkah lanjut pelaksanaan gencatan senjata.

“Mereka akan berunding mulai Isnin depan bagi memperhalusi beberapa langkah terperinci ke arah keamanan,” katanya.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai platform penyelesaian konflik serantau.

“Nama Malaysia kini disebut dari Washington ke London. ASEAN menyambut baik usaha kita yang berjaya menyatukan pihak yang bertelagah dan membawa keamanan dalam masa singkat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com