KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara dijangka menerima laporan lengkap siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, pada Isnin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kematian pelajar berkenaan bukan isu remeh dan tidak wajar dijadikan alasan untuk menyerang mana-mana pihak, termasuk Menteri Pendidikan.
“Ada satu kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan diserang. Apa sudah jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan soal ringan. Kalau ada kematian, itu tanggungjawab bersama untuk cari kebenaran, bukan terus menuduh sesiapa,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, pihaknya telah meminta siasatan dijalankan segera oleh polis dan semua fakta dikumpulkan secara menyeluruh.
“Ketua Polis Negara maklumkan seramai 60 individu telah diambil keterangan. Kita kena ingat, negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, Tan Sri, Datuk Seri, Menteri, kalau bersalah, tidak akan diberi perlindungan,” katanya.
Beliau menegaskan tiada sesiapa akan dilindungi sekiranya terbabit dalam kes jenayah, termasuk jika melibatkan individu berprofil tinggi atau berkait rapat dengan pemimpin negara.
“Tetapi jangan fitnah. Anak Menteri, saudara Timbalan Perdana Menteri, atau saudara Timbalan Ketua Menteri, ini apa dah jadi?” soalnya.
Anwar turut memaklumkan bahawa laporan penuh polis telah diserahkan kepada Peguam Negara dan beliau sendiri telah mendapatkan pengesahan secara langsung.
“Semalam selepas Majlis Musabaqah Al-Quran, saya panggil Peguam Negara. Dia kata, ‘ya, hari Isnin kita dapat’, tapi saya tak campur. Saya tanya sebab rakyat nak tahu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar negara tidak hanya tertumpu kepada isu sensasi, sebaliknya memberi perhatian kepada kebajikan rakyat bawahan.
“Jangan kita lupa nasib petani dan nelayan yang perlu terus diberi perhatian,” katanya.