Tuesday, 5, August, 2025
Utama Umum RMK13 perkukuh akses dan kualiti pendidikan – pakar

RMK13 perkukuh akses dan kualiti pendidikan – pakar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi harapan baharu dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus memperkukuh infrastruktur pendidikan yang menyeluruh di seluruh negara.

Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pelbagai inisiatif strategik di bawah RMK13 dilihat sebagai satu pendekatan holistik yang menyentuh bukan sahaja aspek fizikal seperti pembinaan sekolah baharu dan pembaikan sekolah daif, tetapi juga keperluan pendidikan awal kanak-kanak.

“Ini adalah satu usaha yang sangat penting kerana selama ini kita berdepan cabaran besar dari segi kepelbagaian penyediaan pendidikan antara wilayah dan negeri. Ada kawasan yang jauh tertinggal, dan ini menjejaskan kualiti serta akses pendidikan bagi pelajar di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan besar dalam sektor pendidikan juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap penyamarataan akses pendidikan, khususnya melibatkan kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Inilah peluang untuk kita menyamaratakan akses pendidikan antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar, termasuk di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman Semenanjung. Peruntukan ini juga memperlihatkan keprihatinan terhadap institusi pendidikan awal seperti KEMAS yang memainkan peranan penting dalam membina asas pendidikan kanak-kanak,” katanya.

Anuar berkata, sasaran jangka sederhana RMK13 untuk meningkatkan daya saing negara turut meletakkan pendidikan sebagai pemacu utama.

“Sebagai contoh, sasaran kita adalah untuk meningkatkan kedudukan dalam Indeks Daya Saing Global kepada kelompok 12 terbaik dunia, berbanding kedudukan ke-34 sekarang. Dalam Indeks Pembangunan Manusia pula, kita menyasarkan tempat ke-25 berbanding kedudukan semasa iaitu 63. Kesemua ini hanya boleh dicapai melalui pembangunan pendidikan,” jelasnya.

Beliau turut menyambut baik pengumuman kerajaan bahawa pendidikan prasekolah akan diwajibkan secara berperingkat bermula pada umur lima tahun.

“Ini adalah langkah sangat baik dalam pembangunan sumber manusia negara. Di negara maju, pendekatan ini sudah lama diamalkan bagi membolehkan kanak-kanak berada dalam alam pembelajaran lebih awal dan kaedah pembelajaran yang digunakan bukan dalam bentuk formal, tetapi dalam suasana bermain sambil belajar,” katanya.

Menurut beliau, pendedahan awal kepada pendidikan prasekolah mampu mengurangkan kadar keciciran kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira.

“Masalah utama yang sering dibangkitkan sejak 1970-an adalah keciciran dalam kemahiran asas 3M. Dengan pendedahan awal melalui prasekolah, kanak-kanak dapat menyesuaikan diri lebih baik sebelum memasuki alam persekolahan rasmi, terutamanya ketika tempoh tumbesaran yang sangat penting ini,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM67 bilion bagi sektor pendidikan menerusi RMK13. Ia merangkumi pembinaan sekolah baharu, pembaikan sekolah daif, naik taraf tadika KEMAS, serta peningkatan kemudahan institusi pengajian tinggi awam.

Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat bagi kelulusan Kebenaran Merancang projek perumahan berskala besar, manakala konsep sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan kekurangan tapak yang sesuai.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com