Sunday, 21, September, 2025
Utama Nasional Institusi pondok akan diperkasa, jadi benteng akidah ummah – PM

Institusi pondok akan diperkasa, jadi benteng akidah ummah – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memulihkan dan memartabatkan semula institusi pondok di seluruh negara agar terus menjadi benteng utama dalam mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, usaha itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menaik taraf sekolah agama dan pondok yang masih daif dengan kemudahan serta sokongan teknologi moden.

“Kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, sejarah membuktikan bahawa ketika negara berada di bawah cengkaman penjajah, institusi pondok tetap teguh sebagai benteng terakhir mempertahankan jati diri dan nilai-nilai Islam dalam masyarakat.

Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan pelancaran Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini, yang bertujuan memperluas penyebaran al-Quran melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa antarabangsa.

“Setiap kali saya ke luar negara — sama ada di Peru, Brazil, Perancis atau Kemboja — saya akan bawa al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa tempatan dan edarkan secara rasmi. Inilah pendekatan dakwah yang kita mahu perhebat,” katanya.

MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos ini membawa tema ‘Membangun Ummah MADANI’, dengan penyertaan seramai 71 peserta dari 49 negara.

Malaysia diwakili Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Perak) dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bagi kategori Tilawah, manakala Muhammad Adib Ahmad Rozaini (Perak) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan) mewakili kategori Hafazan.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM40,000, naib johan RM30,000 dan tempat ketiga RM20,000, selain barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com