KOTA KINABALU: Malaysia dipilih sebagai tuan rumah rundingan damai antara Thailand dan Kemboja susulan keyakinan tinggi terhadap kestabilan politik serta kemajuan ekonomi negara ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pemilihan tersebut membuktikan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan dan pendekatan diplomatik Kerajaan MADANI yang konsisten, matang dan berprinsip.
“Apabila hampir berlaku peperangan di sempadan Thailand dan Kemboja baru-baru ini, mereka beri kepercayaan kepada kita. Mereka setuju hadir ke Kuala Lumpur, bukan kerana satu dua individu, tetapi kerana kestabilan politik dan kecekapan jentera pentadbiran kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini.
Anwar memaklumkan rundingan damai itu akan berlangsung selama empat hari, dari 4 hingga 7 Ogos, dan bakal disertai oleh Menteri Pertahanan serta pegawai kanan keselamatan dari kedua-dua negara.
Menurutnya, rundingan itu merupakan pertemuan rasmi secara fizikal pertama antara Thailand dan Kemboja dalam usaha menyelesaikan ketegangan dua hala, dengan Malaysia bertindak sebagai pemudah cara bersama Sekretariat ASEAN.
Mengulas lanjut, Anwar turut berkongsi penghargaan yang diterima daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menghubunginya secara peribadi bagi menyatakan sokongan terhadap peranan Malaysia dalam konflik berkenaan.
“Presiden Trump telefon saya pagi-pagi ucap terima kasih kerana bantu selesaikan konflik ini. Presiden Xi Jinping juga maklum tentang usaha kita,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan ini mencerminkan kekuatan diplomasi Malaysia yang tidak berpihak, bersifat terbuka serta menjadikan kerjasama serantau sebagai tunjang dalam menangani isu-isu sensitif.
“Ini adalah bukti Malaysia masih dihormati dan mampu berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan konflik serantau, khususnya dalam konteks ASEAN,” katanya.