Wednesday, 6, August, 2025
Utama Nasional Isu Laut Sulawesi dibincang secara harmoni, libatkan Sabah

Isu Laut Sulawesi dibincang secara harmoni, libatkan Sabah

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbincangan mengenai isu sempadan maritim di Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia dilaksanakan secara menyeluruh, berlandaskan undang-undang antarabangsa serta mengambil kira persetujuan Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut beliau, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun perlu dipelihara dalam menangani isu itu secara harmoni dan mesra, sesuai dengan semangat kekeluargaan.

“Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, adalah sahabat peribadi saya. Maka saya mahu isu ini dibincangkan dalam suasana kekeluargaan, mengikut fakta sejarah dan undang-undang, serta perlu dipersetujui kerajaan negeri dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Timbalannya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Anwar berkata, Malaysia telah berjaya menyelesaikan beberapa isu sempadan bersama Indonesia sebelum ini, termasuk yang melibatkan Sarawak, sekali gus memudahkan urusan keluar masuk penduduk dan perdagangan di kawasan sempadan.

Katanya, dalam semua rundingan sempadan, penglibatan aktif kerajaan negeri seperti Sabah dan Sarawak adalah penting.

“Ketika lawatan ke Indonesia baru-baru ini, saudara Hajiji dan Abang Jo (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg) turut bersama saya dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo dan jemaah menteri,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Petronas dan Pertamina sedang menjalin kerjasama dalam usaha cari gali minyak yang melibatkan kawasan perairan kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com