Thursday, 7, August, 2025
Utama Nasional Malaysia-Filipina sepakat kukuh kerjasama

Malaysia-Filipina sepakat kukuh kerjasama

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Filipina bersetuju memperkukuh kerjasama strategik demi menjamin masa depan ASEAN yang lebih aman, bersatu dan stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata komitmen itu dicapai menerusi perbualan telefon beliau bersama Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan termasuk isu keselamatan di perairan antarabangsa dan sempadan, yang menjadi kepentingan bersama dalam mengekalkan kestabilan serantau.

“Saya dan Presiden Marcos Jr sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam semua bidang strategik demi masa depan rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Selasa.

Dalam perbualan itu, Anwar turut memaklumkan mengenai perkembangan positif rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dijangka dimuktamadkan minggu ini.

Beliau berkata, persetujuan itu dijangka dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa membabitkan Menteri Pertahanan kedua-dua negara, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Khamis ini.

Antara yang dijangka hadir ialah Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit, bersama Panglima Angkatan Tentera serta wakil kerajaan kedua-dua negara.

Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam 28 Julai lalu susulan mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com