Thursday, 7, August, 2025
Utama Nasional Projek perumahan besar wajib ikut prinsip MADANI

Projek perumahan besar wajib ikut prinsip MADANI

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Setiap projek perumahan berskala besar yang melibatkan lebih 3,500 unit kediaman diwajibkan dibangunkan mengikut prinsip MADANI, termasuk penyediaan kemudahan pendidikan dan prasarana asas untuk penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penyediaan sekolah, ruang perniagaan kecil, pengangkutan awam dan pusat kesihatan perlu diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan komuniti di kawasan perumahan baharu.

“Saya minta perkara ini diberi perhatian serius. Jika ada sekolah berdekatan, ibu bapa berpendapatan rendah tak perlu tanggung kos pengangkutan anak-anak hingga RM300 ke RM400 sebulan,” katanya.

Menurutnya, jika tiada perancangan sekolah dalam projek, pemaju boleh membina blok khas sekolah bertingkat lengkap dengan lif yang kosnya lebih rendah dan boleh ditanggung oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi berkaitan supaya memantau semua projek agar benar-benar menepati konsep MADANI.

Beliau juga menegaskan pentingnya projek disiapkan mengikut jadual bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kelewatan.

“Terdapat projek yang belum siap selepas lapan tahun kerana perancangan lemah. Akhirnya ia dipolitikkan dan rakyat yang menanggung kesannya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com