KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap projek perumahan perlu disiapkan segera tanpa unsur rasuah atau komisen politik yang membebankan rakyat.
Beliau berkata kelewatan menyiapkan projek perumahan sehingga lapan tahun seperti yang berlaku sebelum ini berpunca daripada perancangan yang lemah dan tidak mengambil kira keperluan sebenar penduduk.
“Saya mahu perubahan. Pegawai perancang kena faham peranan mereka dan hayati prinsip MADANI. Jangan ulang kesilapan lama yang akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan projek terbeban dengan kos tambahan akibat unsur tidak telus.
“Kita tidak mahu projek besar ini terpalit komisen politik. Kalau mahu dasar bersih, mesti juga pantas. Jangan pula bersih tapi lambat, rakyat tak boleh tunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, setiap projek perumahan mesti lengkap dengan keperluan asas termasuk sekolah, pusat kesihatan, ruang penjaja kecil, pengangkutan awam, taman permainan dan tempat letak kereta yang mencukupi.
Tegasnya, pembangunan bandar tidak harus hanya tertumpu kepada pembinaan menara tinggi, tetapi perlu memberi manfaat kepada majoriti rakyat.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 2026 hingga 2035 dengan kerjasama kerajaan negeri dan sektor swasta.
Setakat ini, sebanyak 180,000 unit rumah telah siap manakala 235,000 unit sedang dibina menjelang tahun 2025.
Anwar juga berkata, penggunaan teknologi moden seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan pengurusan bersepadu akan mempercepatkan projek serta menjimatkan kos pembinaan.