Sunday, 10, August, 2025
Utama Nasional Anwar angkat Tipu Sultan sebagai simbol keberanian lawan penjajah

Anwar angkat Tipu Sultan sebagai simbol keberanian lawan penjajah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sejarah Asia lebih dihargai dan dibebaskan daripada naratif penjajah, serta mencadangkan Tipu Sultan dijadikan simbol keberanian, pengajaran dan toleransi.

Perdana Menteri berkata, Tipu Sultan bersama bapanya, Haider Ali, bukan sahaja dikenali dengan dasar pentadbiran progresif dan inovasi ketenteraan, malah terkenal dengan keberanian menentang kuasa kolonial utama dunia ketika itu, Syarikat Hindia Timur Inggeris.

“Sejarah bukan sesuatu yang sentiasa adil. Syed Hussein Alatas pernah menyebut ia perlu ditulis semula kerana tidak wajar hanya dinukil oleh pihak yang menang atau dilihat dari lensa penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran Ngauman Harimau Mysore: Warisan Haider Ali dan Tipu Sultan (1761–1799) di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai dan wakil kedutaan asing.

Anwar turut berkongsi pengalamannya melawat Mysore sebelum menjadi Perdana Menteri dan kagum melihat kesederhanaan istana Tipu Sultan serta usahanya melindungi kuil Hindu, termasuk sebuah kuil purba di India.

Beliau memuji kebijaksanaan Tipu Sultan menguasai teknologi ketenteraan dan merujuk kepada penggunaan meriam serta senjata api Mysore yang mengejutkan tentera Inggeris pada peringkat awal pertempuran.

“Ini bukan pameran biasa, tetapi menonjolkan sejarah India dan dunia Islam serta perjuangan menentang penjajah khususnya pemerintahan Inggeris,” katanya.

Menurutnya, kebijaksanaan diplomatik Tipu Sultan turut terserlah apabila beliau berjaya menjalinkan hubungan dengan pelbagai kesultanan Islam dan Hindu di India serta mendapatkan sokongan tentera Perancis.

Anwar berharap pameran itu dapat memperkaya pemahaman masyarakat Malaysia terhadap dua tokoh penting tersebut, yang sinonim dengan perjuangan menentang penjajahan.

Pameran khas itu berlangsung mulai 6 Ogos 2025 hingga 11 Januari 2026 di Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com