PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Yayasan Restu bagi melaksanakan inisiatif menterjemah al-Quran ke 30 bahasa baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah itu termasuk terjemahan terbaharu ke bahasa Rusia yang diterajui Yayasan Restu, sebagai tambahan kepada 30 bahasa sedia ada, sekali gus memperluas penyebaran mesej sejagat al-Quran ke seluruh dunia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha tersebut akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar al-Quran terbesar dunia, setanding Arab Saudi dan Mesir, selain peneraju utama di rantau ini.
“Setiap negara yang saya kunjungi sama ada Peru, Brazil, Kemboja, Laos, China atau Rusia, saya tidak pernah lupa membawa al-Quran terjemahan untuk diserahkan kepada kerajaan, pusat Islam atau masjid setempat,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Percetakan al-Quran dan Terjemahan Bahasa ke-30 (Rusia), Mushaf Ummah al-Jami’ serta pelepasan kontena penghantaran al-Quran ke luar negara, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan dakwah secara berhikmah, berasaskan ilmu dan kefahaman, bagi menangani prejudis serta Islamofobia di peringkat antarabangsa.
Peruntukan tambahan itu membolehkan Yayasan Restu di bawah pimpinan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa, meningkatkan jumlah bahasa terjemahan kepada 60 dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Anwar turut memaklumkan, Mushaf MADANI yang dijangka dilancarkan pada Ramadan tahun depan diilhamkan daripada pengalamannya di Jakarta, Indonesia, yang menampilkan manuskrip al-Quran dengan motif seni tempatan pelbagai wilayah.
Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan mesej universal al-Quran sambil menghormati warisan budaya yang tidak bercanggah dengan semangat kitab suci tersebut.
“Saya berada di Jakarta, di Masjid Istiqlal ketika di bawah Presiden Soeharto dan saya melihat al-Quran yang dihiasi motif seni tempatan seperti Minang, Palembang, Jawa, Batak dan Sunda. Ini membuktikan mesej universal al-Quran,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerana mengekalkan projek penterjemahan ketika beliau tidak berada dalam kerajaan.
“Dengan sokongan berterusan Kerajaan MADANI, kami yakin misi murni ini akan mencapai tahap lebih tinggi, memberi manfaat bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kepada seluruh insan,” katanya.