Sunday, 10, August, 2025
Utama Nasional Kita harus adil, kubur Zara digali secepat mungkin – Saifuddin

Kita harus adil, kubur Zara digali secepat mungkin – Saifuddin

oleh Ammar Haziq

MACHANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan kes yang sedang dijalankan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dibuat susulan arahan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diterima pada Khamis.

“Pagi tadi saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara. Proses penggalian semula akan dilakukan secepat mungkin mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sudah tentu kita akan fokus untuk mengemaskini siasatan dan mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan di sini, hari ini.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah memastikan keadilan ditegakkan untuk semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Kita harus berlaku adil kepada arwah Zara, keluarganya, pihak sekolah termasuk guru. Siasatan ini bukan sekadar memenuhi prosedur, tetapi untuk menjamin keadilan yang sebenar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan AGC telah mengarahkan supaya kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Dalam kenyataan rasmi, AGC memaklumkan bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut dilakukan oleh PDRM demi memastikan semua aspek siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan segera dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Ditanya sama ada bedah siasat telah dilakukan sebelum ini, beliau enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Biarlah proses siasatan berjalan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com