CYBERJAYA: Usaha Malaysia memudahcara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja sehingga membawa kepada pengekalan gencatan senjata tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu negara anggota ASEAN lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada pemimpin ASEAN atas mandat yang diberikan, sambil menyifatkan kemajuan rundingan itu sebagai pencapaian menakjubkan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja, Kabinet serta ketua-ketua tentera. Ini bukan hanya kepercayaan daripada Perdana Menteri atau Menteri Luar, tetapi turut melibatkan pihak tentera, yang bagi saya adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Dengan tahap keyakinan yang ditunjukkan semua pihak, khususnya dari Thailand dan Kemboja, Anwar berkata Malaysia dapat memudahcara proses gencatan senjata dengan lebih berkesan.
Beliau berucap ketika menyampaikan ucaptama sempena Hari ASEAN ke-58 di sini, pada Jumaat.
Pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, di Putrajaya pada Khamis, menyaksikan beberapa persetujuan penting dicapai bagi mengekalkan keamanan di sempadan.
Antara persetujuan itu ialah kepercayaan berterusan kepada Malaysia untuk menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan melalui peranan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team – AOT) turut dibincangkan bagi membantu pemantauan, menyelaras bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan terlibat.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden China, Xi Jinping, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, atas sokongan mereka terhadap usaha rundingan berkenaan.
Menurutnya, sokongan itu mencerminkan keyakinan kuasa besar dunia terhadap Kepengerusian Malaysia, selain peranan ASEAN sebagai rantau yang mengutamakan keamanan dan kemakmuran bersama.