Sunday, 10, August, 2025
Utama Nasional PM tekankan kepentingan perpaduan ASEAN hadapi cabaran global

PM tekankan kepentingan perpaduan ASEAN hadapi cabaran global

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perpaduan ASEAN kini semakin penting dalam menghadapi persaingan geopolitik, ketidaktentuan global dan pemecahan ekonomi yang kian sengit.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-58 ASEAN, Anwar berkata Malaysia berbesar hati memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi blok serantau itu tahun ini, pada saat yang disifatkan amat penting bukan sahaja bagi urusan antarabangsa tetapi juga cara negara berdagang, bekerja dan menjalani kehidupan.

Beliau berkata, ASEAN yang diasaskan 58 tahun lalu berteraskan matlamat mengekalkan keamanan, membina kepercayaan dan memupuk kerjasama antara jiran, kekal relevan hingga kini.

“Keupayaan ASEAN bersuara dengan jelas, berkoordinasi berkesan dan melindungi kepentingan bersama akan menentukan tahap keberkesanan serta kerelevanannya pada masa depan,” katanya menerusi video berdurasi hampir lima minit yang dimuat naik di Facebook.

Menurutnya, daripada pendigitalan hingga nyahkarbon, ASEAN perlu memperlengkap rakyat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan terus berkembang melalui pelaburan dalam kemahiran, infrastruktur dan kapasiti institusi.

Beliau berkata, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir USD4 trilion dan populasi melebihi 670 juta, ASEAN berpotensi muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, namun pembangunan perlu bersifat inklusif, mampan dan dikongsi secara menyeluruh.

“Itulah fokus Kepengerusian ASEAN Malaysia dan legasi yang kita ingin serahkan kepada Filipina pada 2026,” katanya.

Anwar turut menyambut baik kemajuan proses penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11, yang akan melengkapkan keanggotaan ASEAN dari segi liputan geografi Asia Tenggara.

Beliau berkata, Visi ASEAN 2045 menetapkan hala tuju jangka panjang bagi membentuk rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat, namun kejayaan itu bergantung kepada tindakan segera seperti meningkatkan kesalinghubungan serantau serta memperkukuh keterjaminan makanan dan tenaga.

Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia komited terhadap Kepusatan ASEAN dan mahu blok itu kekal sebagai teras dialog serantau, termasuk menangani isu kompleks seperti krisis di Myanmar secara konstruktif.

Katanya, ulang tahun penubuhan adalah masa untuk menilai bukan sahaja pencapaian, tetapi juga kerja yang masih perlu dilaksanakan bagi memastikan ASEAN kekal teguh dan relevan dalam mendepani cabaran masa depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com