Sunday, 10, August, 2025
Utama Nasional Sidang Kemuncak ASEAN : kehadiran Trump, Jinping diharapkan beri nilai berpanjangan – PM

Sidang Kemuncak ASEAN : kehadiran Trump, Jinping diharapkan beri nilai berpanjangan – PM

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini dijangka menjadi medan pertemuan pemimpin dunia, termasuk ketua negara ASEAN dan rakan dialog, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengalu-alukan kedatangan pemimpin antarabangsa, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta berkemungkinan Presiden China, Xi Jinping.

Anwar berkata, Malaysia turut menerima indikasi positif kehadiran Presiden Brazil, Luis Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang masing-masing kini memegang jawatan Pengerusi BRICS dan G20.

“Tetapi mengesahkan kehadiran mereka baru merupakan langkah pertama. Ujian sebenar ialah memastikan pemimpin-pemimpin berkenaan merasakan masa mereka di Malaysia benar-benar bernilai.

“Kita perlu memastikan lawatan mereka menghasilkan keputusan yang memberi nilai berpanjangan kepada perspektif dunia terhadap rantau ini,” katanya.

Untuk rekod, rakan dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Pada Mei lalu, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang, merupakan yang pertama diadakan dan mencerminkan usaha Malaysia memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.

GCC meliputi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com